Sesungguhnya Orang Beriman Itu Bersaudara!
السلام عليكم ورحمة الله و بركاته
Pertamanya saya mengajak seluruh pembaca beristighfar serta selawat dan jangan memberi komentar jika anda tidak ada kena mengena dengan penulisan ini.Hanya sahaja penulisan ini terpaksa ditulis secara umum,kerana ada maslahatnya.
Keduanya,mari sama-sama kita renungi firman Allah ini;
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
-Surah Al-Hujurat,10
Tulisan ini bertujuan untuk menjernihkan suasana dan ketegangan yang tercetus antara guru saya yang mulia, Al Fadhil Habib Syed Agil Aali Yahya dan guru saya yang mulia, Al Fadhil Ustaz Syed Shahridzan حفظهما الله و رعاهما , zuriyyat Sidna Rasulillah صلى الله عليه و على والديه و آله وصحبه وسلم dari keluarga besar Saadah Ba'Alwi yang mulia lagi terpuji.
1)Isu ini timbul ketika desas-desus penyertaan Syed Shahridzan sebagai pembentang dalam sebuah seminar yang akan dianjurkan oleh salah sebuah pertubuhan yang diketahui sebagai pertubuhan yang berkait dengan gerakan SalafiWahabi di Malaysia.
2)Justeru saya merasa terpanggil membuat penjelasan tentang manhaj Ustaz Syed Shahridzan bagi mengelakkan beliau tertuduh sebagai SalafiWahabi,memandangkan poster program berkenaan sudah tular di media sosial.
3)Namun dikeranakan salah informasi dari pihak tertentu, Habib Syed Agil telah tersilap sangka bahawa Ustaz Syed Shahridzan adalah SalafiWahabi.
4)Pada awal saya membaca komentar berkenaan,saya telah menghantar mesej peribadi melalui WhatsApp kepada Habib Syed Agil agar memberi pencerahan kepada saya tentang kenyataan beliau, namun mungkin kerana masalah komunikasi, mesej saya tidak berbalas.
5)Maka bermulalah siri berbalas-balas komentar,yang mana sehingga kini masih berpanjangan.
6)Habib Syed Agil telah memberikan komentar yang menunjukkan beliau sebenarnya belum sempat berkenalan dengan Ustaz Syed Shahridzan,yang menbawa kepada rasa tidak senang dari kalangan mereka yang kenal dengan Ustaz Syed Shahridzan.
7)Untuk pengetahuan Habib Syed Agil,Ustadz Syed Shahridzan sebenarnya seorang graduan Al Azhar ,seperti Habib.Beliau juga telah mendapatkan pandangan para asatidzah lain seperti Ustaz Engku Ahmad Fadzil, Ustaz Yunan A Samad,Ustaz Mohd Al-Amin Daud حفظهم الله ورعاهم dan berberapa orang yang lain dalam berberapa group WhatsApp antaranya group بحوث المسائل.
Dan tidak sedikit yang mengenali Ustaz Syed Shahridzan dari kalangan asatidzah ASWJ termasuklah Al Fadhil Ustaz Dr Zamihan حفظه الله yang telah menemuduga Ustaz Syed Shahridzan.
8)Bertitik tolak dari kenyataan Habib, sebahagian sahabat dan kenalan juga telah tersilap serta bertindak kasar membalas kerana mungkin mereka juga tidak mengenali siapa Habib Syed Agil.Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, Habib Syed Agil adalah seorang graduan Al Azhar, serta diasuh oleh bapa beliau,Almarhum Habib Syed Abdul Rahman Ben Yahya رحمه الله رحمة واسعة,bekas Qadhi Besar Kerajaan Negeri Pahang.
9)Dan saya tertarik apabila Habib ada memberi komentar dengan menyatakan tidak adil bagi Habib kerana dikritik secara 'cakap belakang' di sebuah status milik kenalan FB saya,sedangkan Habib tidak boleh memberi komen bagi menyatakan hujjah habib.
Maka kami juga berharap Habib juga tidak berbuat perkara yang sama,seeloknya bawalah berbincang dulu.
10)Ringkasannya, saya mewakili teman-teman yang tersilap dalam memperkatakan tentang diri Habib,memohon maaf atas keterlanjuran kami.
Dan besar juga harapan kami agar Habib dapat menarik balik dahulu kenyataan Habib terhadap Ust Syed sehinggalah kedua-dua pihak dapat duduk semeja bertemu empat mata dan berbincang tentang apa-apa isu berkenaan atau yang dirasakan ada kekeliruan.
Saya juga dengan rendah hati memohon maaf kepada guru saya Al Fadhil Ustaz Uwais AlQarni Abdul Wahab حفظه الله ورعاه kerana telah melanggar nasihat ustaz,namun tidaklah ada niat lain melainkan supaya isu ini segera selesai agar tidak menjadi fitnah yang lebih besar serta 'bola tanggung' untuk golongan SalafiWahabi terhadap ASWJ.
{رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ}
الفقير إلى رحمة الله القدير،
Mohammad Faeez Harith Al-Bakkaniy
غفر الله له ولوالديه
-SAYA DAN SEMINAR QAUL MUKTAMAD MAZHAB SYAFI’IE-
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh…
Rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekelian,
Setelah tersiarnya status al-Fadhil al-Ustaz Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin –hafizahullah- tentang penarikan diri beliau dari seminar tersebut. Tidak lama selepas itu, saya dihujani dengan mesej di media sosial samaada melalui FB dan Whatsapp yang bertanyakan tentang penglibatan saya dalam seminar tersebut samaada masih diteruskan atau tidak?
.
Sehingga ke hari ini, hujanan mesej tetap datang sehingga saya mengambil keputusan untuk menyiarkan kenyataan rasmi penglibatan saya, agar dapat menjawab segala tanda tanya terjawab dan saya tidak lagi disapa oleh mesej-mesej pertanyaan tentang isu yang dimaksudkan.
.
Untuk makluman rakan-rakan semua, saya menerima tawaran dari pihak penganjur sebagai pembentang qaul muktamad mazhab Syafi’ie dalam Fiqh Ibadat. Saya mengambil keputusan untuk menerima pelawaan ini kerana saya fikirkan peluang untuk saya jelaskan isu-isu fiqh ibadat menurut mazhab Syafi’ie kepada skop hadirin yang lebih besar dan luas tentang proses sebenar pembentukan qaul muktamad di dalam mazhab. Akibat tidak memahami hakikat qaul muktamad di dalam mazhab Syafi’ie maka timbul salah faham sehingga ramai yang berkata secara sindiran, “Kata mazhab Syafi’ie tapi kitab al-Umm pun tak baca, tak khatam dan tak diajar”.
.
Di samping itu, fiqh ibadah terdapat isu-isu yang sering dimanipulasikan oleh pihak tertentu, maka saya rasa perlu berdiri sebagai pembentang untuk menjelaskan dan membetulkan salah faham terhadap sesuatu isu berdasarkan usul atau manhaj mazhab Syafi’ie yang sebenar yang mana yang didasari oleh ulama-ulama syafi'iyyah. Akibat tidak faham manhaj mazhab ini, ramai yang menyangka secara bias, “Pendapat Imam Syafi’ie lemah, tiada dalil dan bertentangan dengan hadith yang sahih”.
.
Inilah secara ringkas tujuan saya menerima undangan ini, hanya sekadar untuk menyampaikan maklumat yang tepat, tidak lebih dari itu, bukan untuk mencari populariti, juga bukan untuk mengajak masyarakat agar bermudah-mudah dalam urusan talfiq mazhab yang mana ia bukanlah prinsip saya dalam beramal berdasarkan hukum hakam feqh.
.
Untuk pengetahuan rakan-rakan sekelian, sebenarnya saya sudah lama mengambil keputusan menarik diri dari menyertai seminar ini. Penarikan diri saya telah saya maklumkan kepada pihak penganjur SEHARI SELEPAS poster seminar tersebut tersebar di ruangan media-media sosial yang mana poster tersebut telah tersebar bermula malam 5hb Julai dan saya memaklumkan penarikan tersebut pada 6hb Julai petang.
.
Semenjak tularan poster tersebut maka timbul pelbagai spekulasi dan tidak ketinggalan juga fitnah-fitnah yang mana sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya dan Tirmidhi Centre. Setelah berfikir panjang dan demi menjaga kemaslahatan kerja dakwah saya untuk jangkamasa panjang dan Tirmidhi Centre, saya mengambil keputusan untuk menarik diri demi kebaikan kami bersama. Tambahan pula tidak lama lagi saya akan ke tanahsuci untuk mengerjakan ibadah haji, jadi saya inginkan ketenangan sepanjang di tanah haram dan tidak mahu terganggu dengan sebarang spekulasi dan tuduhan yang tidak enak didengar.
.
Akhir sekali , saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk membuat sedikit perkongsian ilmu dan pohonan maaf atas penarikan diri ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat saya Tirmidhi Centre atas sokongan yang tidak berbelah bahagi, begitu juga pada asatizah yang menyokong niat murni saya ini, doa dan nasihat yang diberikan. Sesungguhnya itu semua amat-amat membantu saya dalam situasi ini. Semoga kenyataan yang keluarkan dapat menjawab segala tanda tanya dan spekulasi.
وفقنا الله وإياكم لما يحبه ويرضاه
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
No comments:
Post a Comment